Saturday 3 December 2011

Graduan 5: Harfirdaus Che Lah

Harfirdaus Che Lah, perniagaan peruncitan dan pemborong

Lambang kejayaan... Harfirdaus Che Lah bersama kakitangannya di hadapan kedai jualan mereka di Saujana Impian, Kajang.


Tidak ada yang lebih istimewa bagi seorang siswazah apabila berpeluang menimba pengalaman sebagai pengurus operasi perniagaan peruncitan dan pemborong sedangkan baru sahaja menggenggam segulung ijazah.
Lebih istimewa, kerjaya barunya menuntut lebih usaha untuk mendapatkan pengetahuan kerana ia berkaitan pemasaran produk berasaskan ternakan sedang, ijazah yang dimiliki dalam bidang kejuruteraan elektrik.
Justeru, `haluan' yang dipilih nyata menyimpang jauh daripada ilmu yang ditimba di universiti tetapi bagi Harfirdaus Che Lah, dalam usia yang baru mencecah 23 tahun, dia menganggapnya sebagai satu cabaran yang memerlukan kecekalan, keberanian selain tidak berputus asa untuk menambah pengetahuan.
“Saya sudah jatuh cinta dengan perniagaan ini, ujarnya,‘’ ketika ditemui di pejabatnya di Kajang baru-baru ini.
Harfirdaus Che Lah yang memegang jawatan Eksekutif Operasi, Perfect Fresh and Frozen nyata enggan menambah bebanan fikirannya bahawa bidang yang agak asing baginya boleh menjadi batu penghalang mencapai kejayaan.
Malah dia yang pernah bertugas sebagai pelatih pengurus di sebuah syarikat makanan segera akan memanfaatkan ilmu yang dimiliki untuk memajukan syarikat berkenaan yang baru membuka outlet di Jalan Impian Murni, Saujana Impian, Kajang, Selangor.
Syarikat yang diuruskan oleh KMJ Supplies Sdn. Bhd. itu beroperasi sebagai pemborong dan peruncit bekalan daging lembu, kambing Boer, rusa, unta, burung unta, arnab dan ayam kampung.
Selain itu, syarikat terbabit juga memasarkan ayam turki, burung puyuh, itik dan susu kambing.
Syarikat terbabit menawarkan sistem francais kepada mana-mana pengusaha yang berminat memasarkan produk-produk berkenaan, dengan tujuan membantu pengusaha ladang di peringkat pengeluaran untuk memasarkan hasil mereka.
“Ada masa ini, kami memperoleh bekalan dari merata tempat di seluruh negara dan ini sekali gus dapat pengusaha memasarkan hasil ladang mereka,” kata Harfirdaus.
Sebagai contoh, bekalan ayam kampong diperoleh dari projek penternakan membabitkan ibu tunggal di Kuala Selangor, burung puyuh (Pulau Pinang), itik (Tampin), arnab (Broga) dan burung unta dari Beranang, Selangor.
Pengusaha menghantar bekalan daging mereka selepas diproses manakala syarikat terbabit membungkusnya dengan potongan dengan saiz tertentu memudahkan suri rumah menyediakannya untuk dimasak.
Apa yang pasti, konsep pemasaran bekalan produk berasaskan daging itu memperkenalkan konsep baru dalam pemasaran daging yang bukal sahaja, segar tetapi halal dan bersih.
Menurut Harfirdaus, meskipun baru dibuka pada 24 November lepas, pengunjung sudah mula memenuhi outlet tersebut sejak awal pagi khususnya pada hari cuti.
Ini kerana konsep yang mudah untuk membuat pilihan dan jenis daging ternakan yang pelbagai, mendorong mereka mendapatkan produk yang diperlukan.
Meskipun tidak semua daging yang dijual hasil daripada ladang ternakan tempatan, syarikat terbabit menjanjikan produk yang segar dan berkualiti.
Malah, selain pasaran runcit, pengguna juga boleh membuat tempahan untuk mendapatkan daging yang dikehendaki dan akan dihantar ke destinasi yang diminta
Menurut Harfirdaus, pihaknya juga menyasarkan kepada syarikat penyajian makanan (catering) kerana ia menawarkan satu pasaran besar bagi bekalan daging mentah.
Selain itu, syarikat terbabit juga membekalkan susu kambing segar berjenama Vcals ke beberapa buah hospital selain dijual secara runcit.
Pada masa ini, syarikatnya mampu mengedar antara 400 dan 500 botol sehari kepada pelanggan terbabit.
Dengan modal awal sebanyak RM250, 000 bagi melengkapkan outlet yang menempatkan pusat jualan, bilik pemotongan serta bilik sejuk beku serta kakitangan seramai empat orang setakat ini, Harfidaus ternyata mempunyai tanggungjawab berat memajukan perniagaannya,
Kita kena berani bersemangat dan yakin dengan diri.
Mengenai konsep francais, beliau percaya dapat mengembangkan lagi usaha tersebut melibatkan 10 buah cawangan dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Info ringkas mengenai industri penternakan ruminan:
* Kadar sara diri (SSL) bagi lembu dan kambing masih rendah iaitu masing-masing 18 peratus dan sembilan peratus.
* Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), dan Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) serta Pelan Imbangan Dagangan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meletakkan sasaran SSL 40 peratus bagi lembu dan 35 peratus bagi kambing menjelang 2010.
* Bagi mencapai sasaran tersebut, pengeluaran lembu dan kerbau yang diperlukan ialah sebanyak dua juta ekor.
* Lebih 723,000 ekor lembu betina dan lebih 338,000 ekor lembu disembelih dengan mengambil kira 60 peratus kelahiran dan 40 peratus lagi baka pembiak.
* Bagi industri kambing pula, lebih satu juta ekor diperlukan dengan bilangan pembiak lebih 380,000 ekor dan yang disembelih 3000,000 ekor setahun menjelang 2010.
* Pada masa ini, dianggarkan terdapat 23,800 pernternak terdapat di negara ini meliputi semua komoditi ternakan.
- Penternak lembu- 13,950 orang
- Penternak kambing-3,544 orang
- Industri kambing:
- Penternak tradisional- 75 peratus
- Penternak semi komersial- 15 peratus
- Penternak komersial-10 peratus
Antara projek utama:
* Pusat Pengeluaran Kambing Boer Negara seluas 4-5 hektar dio Pondok Tanjung, Taiping Perak
* Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan
Info:
* Khidmat penyajian makanan berbeku kambing Boer disediakan
* Waktu perniagaan: Pukul 8 pagi hingga 8 malam setiap hari.
* Khidmat penghantaran disediakan bagi tempahan melebihi RM30.
* Alamat: Perfect Fresh and Frozen, No 15, Jalan Impian Murni 1/5, Saujana Impian, 43300 Kajang Selangor.
* Telefon : 012-2686845

Graduan 4: Ahmad Hanizam Abdullah

Ahmad Hanizam, Pemilik Cendawan Global


Nama penuh Ahmad Hanizam bin Abdullah. Anak keempat daripada lima adik -beradik. Berasal dari Jertih, Terengganu. Dilahirkan pada 4.1.1977. Pemegang Bacelor Perakaunan (Kepujian) dari UPM. Juga mempunyai kelayakan daripada FMUTM, MII (insurans hayat & am) dan CEILI.

Sekarang menetap di Ampang, Selangor dan bertugas sebagai Eksekutif Bank di Kuala Lumpur. Berkahwin dan mempunyai 2 orang baby perempuan cute. Hobi beliau ialah membaca, bermain catur dan surf internet. Matlamat beliau ialah menjadi jutawan pada tahun 2012.

Beiau boleh dihubungi dari jam 9 pagi sehingga 3 petang sahaja. Selepas itu, sms sahaja. Jadi, selamat berkenalan dan memasuki zon tip-tip perniagaan dan keusahawanan di Cendawan Global amnya dan dunia cendawan khususnya.

Graduan 3: Jamaluddin Abdul Rashid

Jamaluddin Abdul Rashid, usahawan tani



BALING 24 Mac – Kira-kira 19 tahun lalu, selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM), Jamaluddin Abdul Rashid bercita-cita untuk menjadi pegawai daerah.

Bagaimanapun permohonannya bagi pekerjaan ke arah jawatan tersebut gagal.

Beliau kemudian memohon pelbagai jawatan kerajaan tetapi nasib tidak menyebelahinya.

Malu dengan keadaan dirinya yang masih menganggur walaupun memiliki segulung ijazah, Jamaluddin sanggup melakukan semua kerja termasuk menjadi buruh, bersawah dan menoreh getah – semua kerja yang tidak memerlukan ijazah.

Setelah lima tahun `menjaja’ ijazahnya, beliau yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan pada 1986 memutuskan untuk tidak lagi memohon pekerjaan menggunakan kelulusannya itu.

Sebaliknya, Jamaluddin, 45, berusaha membuka tapak semaian pokok bunga dan pokok teduhan dan kini beliau merupakan usahawan tani yang berjaya.

Beliau bukan sahaja menjadi majikan kepada 10 orang pekerja tetapi mendapat kepercayaan sebuah pemaju terkenal untuk membekalkan pokok bunga dan teduhan ke jabatan kerajaan, sekolah dan swasta.

Hasil titik peluhnya mengusahakan tapak semaian yang dikenali sebagai `Semaian Ani Ayu’ itu, Jamaluddin yang pernah menyertai Skim Khidmat Siswazah (SKS) bagi graduan menganggur pada 1986, dapat membina sebuah banglo.

Banglo tersergam indah di Kampung Sadek, Kupang yang berharga lebih RM300,000 itu adalah lambang kegigihan, kecekalan dan keberanian seorang siswazah yang tidak bergantung harap kepada kerajaan semata-mata.

“Saya tidak berminat untuk bekerja di pejabat lagi walaupun ditawarkan jawatan yang tinggi,” kata Jamaluddin ketika ditemui oleh Utusan Malaysia di rumahnya, hari ini.

Jamaluddin berkata, beliau tidak pernah menyesal kerana cita-cita menjadi pegawai tinggi kerajaan tidak tercapai.

Beliau turut menasihatkan graduan menganggur yang kini berjumlah 80,000 orang supaya tidak memilih pekerjaan dan berharap kerja `makan gaji’ semata-mata.

“Buatlah sebarang pekerjaan yang halal dan sebaik-baiknya buatlah pekerjaan sendiri kerana kita lebih bebas dan tidak terikat,” ujarnya.

Menceritakan kejayaannya itu, Jamaluddin berkata, beliau mendapat dorongan Jabatan Pertanian dan rakannya seorang lulusan Ijazah Sarjana Muda Botani Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk mengusahakan tapak semaian di atas tanah seluas satu hektar pada tahun 1991.

Tambahnya, beliau sedar untuk berjaya, segala perasaan malu, ego dan rasa rendah diri perlu dikikis bagi mencapai matlamat itu.

Bapa kepada dua anak hasil perkongsian hidup bersama Noraini Sulaiman, 39, itu kini boleh berbangga apabila perniagaannya telah berkembang ke seluruh negara walaupun pendapatan awal hanya sekitar RM400 sebulan.

Menurut Jamaluddin, ijazah yang diperoleh hanya sekadar untuk mendapat pengetahuan serta ilmu tetapi ia bukan lesen untuk memperoleh kerja bergaji besar tanpa berusaha sendiri.

“Saya semakin seronok apabila perniagaan ini mampu memberikan pendapatan lumayan sehingga melebihi empat angka,” kata Jamaluddin yang turut menyambut baik langkah kerajaan mewujudkan semula Skim Latihan Siswazah Menganggur (SLSM) bagi mengatasi masalah pengangguran di kalangan lepasan institusi pengajian tinggi.

Bagaimanapun katanya, skim itu perlu meningkatkan bimbingan secara berterusan kepada bekas siswazah, sementara golongan itu pula perlu mengikis sikap untuk bekerja makan gaji semata-mata selepas tamat pengajian di universiti.

Graduan 2: Noor Aini

Noor Aini Usahawan Roti
SIK 23 April – Mungkin ramai tidak sanggup melepaskan jawatan bergaji tetap, apatah lagi ketika berada di kampung halaman sendiri semata-mata untuk menjalankan perniagaan khususnya pada zaman kemelesetan ekonomi.
Perkara ini bagaimanapun berbeza dengan seorang bekas lepasan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Noor Aini Abdullah, 28, dari Kampung Sungai Semiar, Jeneri, di sini, yang sanggup meninggalkan jawatan berstatus pengurus untuk menghadapi cabaran lebih besar iaitu membuka kedai roti dan kek.
Pemegang Ijazah Bio-Teknologi itu berkata, sebelum ini, dia pernah memegang jawatan pengurus akaun di sebuah koperasi di bandar ini sebelum menyertai sebuah yayasan sebagai pengurus projek tetapi kemudiannya beralih ke bidang perniagaan pada 2007.
Menurut Noor Aini, dia tidak menyesal meninggalkan jawatan berkedudukan tinggi itu kerana selain menyahut seruan kerajaan untuk menambah jumlah usahawan di kalangan bumiputera, bidang perniagaan diceburinya ternyata membuahkan hasil cukup memberangsangkan.
Menyewa sebuah kedai kecil di Stesen Bas Sik, Noor Aini menjalankan operasi kedai roti dan kek atas jenama Srikanis yang ternyata mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
”Saya memulakan perniagaan dengan modal RM15,000 termasuk membeli ketuhar, mesin pengadun dan sebagainya dengan mendapat kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan).
”Saya belajar membuat roti dan kek daripada rakan-rakan sewaktu di Unimas dan mengikuti kursus di Kolej Komuniti di sini, ditambah dengan kreativiti sendiri untuk mencuba sesuatu resepi,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Dengan dibantu dua pekerja, Noor Aini memberitahu, dia bukan sekadar menjual produk keluarannya itu di gerai tersebut, malah menjadi pembekal tetap roti daging dan pizza di sekolah-sekolah sekitar daerah Sik, Baling dan Sungai Petani dan Yan.
”Syukur kerana setakat ini saya menerima tempahan roti daging dan pizza untuk sekolah-sekolah sebanyak 1,000 biji sehari.
”Produk keluaran saya khususnya roti daging cukup disukai tetapi bagi menjaga kualiti, saya mengeluarkannya mengikut tempahan kerana ia tidak boleh disimpan lama,” tambahnya yang mendapat galakan daripada suami, Noor Azman Othman.
Selain itu, kata Noor Aini, dia menjual biskut dan kuih tradisional seperti baulu dan sebagainya.
”Sambutan baik, selain roti daging dan pizza, biskut, kuih tradisonal dan kek menarik minat ramai mengikut musim.
”Contohnya, pada musim cuti sekolah, saya menerima banyak tempahan kek untuk majlis-majlis perkahwinan yang diadakan pada ketika itu,” katanya.
Noor Aini berkata, keluaran kedainya itu dijual pada harga berpatutan mengikut jenis iaitu dari serendah 80 sen hingga RM1.50 untuk roti dan RM15 hingga RM70 untuk kek.
”Cadangan saya tentulah untuk membesarkan perniagaan dan saya akan tingkatkan lagi usaha bagi mencapai matlamat tersebut,” katanya.
Bagi mereka yang berminat untuk membuat tempahan, boleh menghubungi Noor Aini menerusi talian 019-5932049.

Graduan 1: Musleha Punari

Musleha Punari, usahawan kuih

 Musleha Punari sentiasa berusaha mengembangkan perusahaannya menjadi lebih besar dengan mewujudkan lebih banyak cawangan


MENJUAL kuah rojak, makanan ringan serta produk pertanian di pasar tani pada tahun 1990-an merupakan titik permulaan bagi Punari @Zainudin Salleh, 59, membina empayar perniagaannya.
“Ketika mula-mula menceburi perniagaan pasar tani saya hanya memikirkan mencari rezeki untuk keluarga,” katanya ketika ditemui di premisnya di Sungai Leman, Sekinchan, Selangor.
Sebelum berjinak-jinak dengan dunia perniagaan dia pernah bekerja sebagai buruh di Singapura dan berkebun.
Matlamatnya hanya satu, untuk mencari rezeki bagi anak-anak dan isteri.
Kini, selepas lebih 10 tahun berkecimpung dengan perniagaan kecil-kecilan, akhirnya dengan bantuan dan galakkan isteri Mastura Senon, dia berjaya membina empayar MHP Enterprise.
Menggunakan jenama Masri, gabungan nama suami isteri Mastura dan Punari – memberikan tuah kepada Punari sehingga produknya berjaya mendapat tempat di rak-rak di pasar raya besar seperti Giant.
Sebagai pengasas, Punari memulakan usaha kecil membangunkan MHP Enterprise hanya dengan modal RM10,000.
“Siapa sangka produk yang bersifat kampung seperti kerepek, baulu, rempeyek dan biskut tradisional mempunyai potensi yang cukup tinggi dan unik di pasaran,” katanya.
Ini yang menjadi kekuatan awal kepada syarikatnya dalam ruang modal yang terbatas dan infrastruktur serba sederhana menjadi kuat daripada semasa ke semasa.
Bagaimanapun, tidak mahu terlalu lama mengetuai MHP Enterprise, Punari memberikan sepenuh kepercayaan kepada anak sulungnya, Musleha Punari.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Musleha berjaya membawa pelbagai peningkatan kepada produk jenama Masri dan MHP Enterprise.
Sebagai pengurus MHP Enterprise, Musleha berjaya melonjakkan jualan kasar selain mendapat pengiktirafan halal daripada Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha membawa produk syarikat ke pasaran yang lebih luas.
“Pada mulanya saya menangis apabila ayah memberikan tanggungjawab menguruskan MHP Enterprise.
“Mana tidaknya, dengan kelulusan yang ada tentu saja saya berpeluang menjawat jawatan lebih baik di syarikat antarabangsa,” katanya.
Mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan MHP Enterprise kini mempunyai 40 orang pekerja tetap dan sementara.
Bukan itu saja, kini MHP Enterprise juga menjadi pusat jualan untuk produk-produk makanan ringan tradisional yang diusahakan oleh penduduk sekitar.
Kini MHP Enterprise banyak menerima pelawat yang menginap di hotel dan inap desa sekitar Kuala Selangor, Sekinchan dan kawasan sekitarnya selain peserta kursus dari agensi kerajaan dan swasta.
“Kami juga menerima delegasi dan pelancong asing seperti Iran, Belanda, Indonesia, Perancis, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Nepal, Filipina, Singapura, Myanmar, Brunei dan Thailand,” kata Musleha.
MHP Enterprise akan terus memandang ke hadapan dan disasarkan selepas ini, syarikat terbabit akan mengembangkan perusahaannya dengan mewujudkan lebih banyak cawangan.
Di samping peningkatan kualiti terhadap produk melalui kerjasama penyelidikan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Sirim Berhad dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di harap produk selepas ini boleh menembusi dan bersaing di pasaran global pula.
Bagi yang berminat boleh melayari laman blog www.mhp2020.blogspot.com atau hubungi Musleha di 019-3682346 atau 019-3779136.


Usahawan 10: Abu Hasan Ismail

The Star, Sabtu 24 September 2011

PRESTARIANG Bhd
Dr. Abu Hasan Ismail

Usahawan 9: Saiful Sidek Abdullah


Kosmo, Rabu 9 November 2011

Butik SAIF
Saiful Sidek Abdullah